Jumaat, 14 Mei 2010

Lakonan: Dari Makna ke Makna

Apabila berbicara tentang drama dan teater, satu elemen utama yang tidak boleh dipisahkan adalah lakonan. Lakonan atau berlakon berlaku dalam setiap persembahan teater dengan gerak laku pemainnya sama ada dengan berdialog mahupun tidak berdialog. Setiap gerak dan perlakuan pemain atau dipanggil pelakon ini, menyampaikan maklumat-maklumat yang mengandungi perkisahan sesuatu situasi, mesej cerita, perasaan, dan emosi. Ia dilakukan berdasarkan skrip dan arahan yang telah diberikan sebelum pementasan dijalankan. Irving, seorang pengkaji drama menjelaskan bahawa berlakon itu merupakan seni yang menggabung-padukan pengkaryaan penulis dengan darah dan daging untuk mengwujudkan figura-figura (watak) berdasarkan tafsiran pelakon melalui naskhah bertulis secara langsung kepada penonton.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi pendapat yang diberikan oleh ahli teori mengenai definisi berlakon. Selain Aristotle yang mengemukakan teori peniruan (imitation), Schreck juga memberikan pendapat yang sama dengan mendefinisikan berlakon itu sebagai peniruan yang terkawal mengenai tingkah laku dan emosi manusia lain. Ianya berkembang secara progresif dan projeksi padat tentang kehidupan watak. Beliau lebih memberatkan peniruan aksi-aksi manusia dan kemanusiaannya tetapi peniruan itu mestilah bersebab.

Crawford, Mc Gaw dan Broeck mempunyai persamaan dalam memberikan pendapat terhadap pengertian berlakon. Mereka bersetuju bahawa berlakon berlaku apabila individu bertingkah laku secara jujur, secara benar, secara ekonomik, dan selesa di hadapan orang ramai di tempat yang digunakan untuk persembahan teater. Dan Broeck menjelaskan lebih lanjut bahawa berlakon itu ialah seni pengucapan atau penyataan di atas pentas dengan si pengucap itu mempercayai setiap perkataan ucapannya itu adalah benar menyamai ragaman kehidupan.

Pengkaji-pengkaji yang terkemudian telah mengemukan pendapat dan penjelasan mengenai definisi berlakon dengan lebih terperinci dan mendalam. Mereka melihat dari aspek bagaimana kegiatan berlakon itu dilakukan dengan penglibatan fizikal, mental dan emosi. Seperti pendapat Laurette yang menjelaskan bahawa berlakon itu adalah representasi fizikal terhadap gambaran mental dan projeksi konsep emosional. Apa yang ingin dikemukakan oleh beliau ialah penampilan seseorang watak itu setelah melalui proses penafsiran pelakon di mana proses ini melibatkan daya imaginasi. Apa yang ditampilkan di depan ialah watak yang sudah pun melalui transformasi daripada diri pelakon kepada watak ciptaannya.

Definisi berlakon yang sering berubah dan berkembang kepada makna yang lebih jelas dan terperinci menunjukkan bahawa ilmu lakonan itu terus diterokai dari zaman ke zaman. Dari konsep imitasi yang menjadi asas kepada kegiatan berlakon, ia berkembang kepada aspek-aspek yang merangkumi hal-hal psikologi dan fizikologi. Ini dipercayai adalah bertujuan mencari definisi yang lebih jelas terhadap kegiatan berlakon itu, bukan pada dasarnya sahaja malah kepada makna berlakon yang lebih berkesan dan efektif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan